DEMI MASA

sekadar hiasan

Semalam ada sebuah rancangan yang diterbitkan oleh Sheila Rusly di TV3. Aku hanya sempat menonton rancangan ini lebih kurang 1 jam yang terakhir. Ceritanya agak menarik dan berlainan sedikit dengan kisah atau corak persembahan arahan tempatan yang mempunyai pola yang sama saja. Cerita ini dipertontonkan sempena hari ibu hari ini.

Kisahnya tentang bagaimana seorang anak lelaki yang melupakan pengorbanan dan tidak menghargai seorang yang bernama ibu. Dia berjaya menamatkan pelajaran di peringkat tinggi dan berkahwin. Namun kehidupannya tidak pernah diberitahu kepada isteri kerana malu dengan ibunya. Dia pun berjaya.

Suatu hari si ibu terbaca di majalah tentang kejayaan anaknya sebagai seorang peniaga. Si ibu yang bermata buta sebelah ini pergi ke kediaman si anak dengan harapan untuk berjumpa dengan anaknya yang telah 4 kali raya tidak berjumpa dan pulang ke kampung. Namun dihalau oleh si anak dengan hanya menggunakan isyarat mata. Si ibu redha untuk tidak mahu memalukan anaknya beredar dengan tenangnya.

Kemudian si anak mengalami masalah dan dinasihati isterinya untuk bersendirian dan mencari sesuatu yang hilang dan bertenang. Si anak pulang ke kampung dan mendapati ibunya sudah meninggal. Si ibu sudah meninggalkan sepucuk surat untuknya. Apa isi kandungannya???

Si ibu yang meminta maaf kerana telah memalukan anaknya di depan isteri dan anaknya. Si ibu masih mendoakan kejayaan anaknya walaupun si anak tidak pernah menghargainya. Dan yang paling penting terungkap satu cerita bahawa anak itu berhutang sebelah mata kepada ibunya ketika kecil dahulu. Di sebabkan itulah ibu yang dirasakan memalukannya itu telah melakukan pengorbanan paling besar dalam dirinya. [TAMAT]

Itu kisah cerita semalam. Namun kisah aku??? Tidak perlulah aku cerita. Pengorbanan ibu memang banyak. Keperitan dan kepayahannya membesarkan aku seorang diri tidak perlu untuk diceritakan. Hidup aku hanyalah merasa kasih ibu semata. Kasih ayah??? Biarlah aku simpan segala rahsia itu. Aku bersyukur dikurniakan seorang ibu yang sangat tabah dan sabar sepertinya.

Aku tanpa ibu? Tidak tergambar dek fikiran. Tidak tergambar kehidupan aku selepas itu. Sebab itulah setiap kali ibuku di masukkan ke hospital akulah orang yang paling tidak senang duduk walaupun hanyalah sekadar prosedur biasa. Jika anda ditempat aku mungkin anda faham.

Terima kasih ibu atas perlindunganmu untukku dari panas baran ayah. Terima kasih atas penat jerihmu untuk membesarkan insan kerdil ini. Terima kasih atas perhatian dan sokongan serta doamu dalam setiap kejayaanku. Terima kasih atas segala kasih yang kau curahkan tanpa henti itu. Terima kasih atas segalanya. Tidak mungkin anak ini mampu untuk membalasnya. Walau dengan selautan kasih dariku tidak akan mampu menandingi kasihmu. SELAMAT HARI IBU

 

p/s : Ketika sedang menulis tanpa sedar mataku sudah pun bergenang mengingati setiap saat bersama ibu. Hanya airmata menjadi penawar dan senyuman menjadi ubat kepada kepada diriku[noktah]

Advertisement